Ďă˝¶ĘÓƵ

Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2025

Gambar hiasan. Gambar kecil: Saral JamesKUALA LUMPUR – Malaysia disaran menyeimbangkan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan pendidikan menyeluruh kepada rakyat serta pelaksanaan undang-undang yang jelas dan selamat.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, pemahaman terhadap AI perlu diperkasa di semua peringkat agar teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan nilai kemanusiaan.

“Tak kenal, maka tak cinta. Pelajar perlu diajar cara menggunakan AI secara bijak.

"Golongan dewasa juga harus didedahkan melalui ceramah atau panduan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, langkah pendidikan itu harus disusuli dengan penglibatan semua pihak dalam proses penggubalan dasar dan undang-undang berkaitan teknologi tersebut.

“Guru, pelajar, usahawan dan ibu bapa perlu diberi ruang menyuarakan pandangan. Ini penting supaya dasar AI yang dirangka benar-benar selari dengan keperluan rakyat,” katanya.

Saral turut menegaskan keperluan mewujudkan undang-undang khusus bagi mencegah penyalahgunaan AI seperti intipan, penipuan dan diskriminasi.

“Kebebasan AI tanpa kawalan adalah berbahaya. Kita perlukan satu badan bebas yang boleh memantau penggunaannya,” jelasnya.

Selain itu, beliau mencadangkan agar garis panduan etika AI yang dibangunkan kerajaan dapat diakses secara terbuka oleh semua pihak termasuk sekolah, syarikat dan orang awam.

“Negara seperti Singapura, India dan Jepun telah membuktikan keberkesanan pendekatan terbuka ini.

"Garis panduan yang mudah difahami dan telus akan memupuk penggunaan AI yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman web Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Beliau turut mengingatkan agar nilai kemanusiaan tidak diketepikan dalam mengejar kemajuan teknologi.

“AI mungkin bijak, tetapi manusia ada kelebihan nilai, ihsan, keadilan dan maruah perlu terus dijadikan pedoman,” ujarnya.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-24 daripada 188 negara dalam Indeks Kesiapsiagaan AI 2024. Singapura di tempat kedua, manakala Korea Selatan di tangga ketiga.

Justeru katanya, ketelusan dan pembinaan kepercayaan awam adalah kunci untuk melonjakkan kedudukan Malaysia di persada global.

Saral yang menjadi panel jemputan pada Persidangan British Standards Institute (BSI) di London, 21 Mei lalu, turut mengetengahkan pendekatan seimbang Malaysia terhadap AI melalui Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan Garis Panduan Tadbir Urus AI.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penggunaan piawaian antarabangsa dalam pengurusan AI seperti ISO/IEC 42001 bagi Sistem Pengurusan AI, ISO/IEC 23894 bagi Pengurusan Risiko AI serta ISO/IEC TR 24368 yang merangkumi isu etika dan sosial berkaitan teknologi tersebut.

Jelasnya, Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju AI serantau asalkan langkah yang diambil disertai kawal selia, pendidikan dan pengukuhan nilai kemanusiaan.