Ďă˝¶ĘÓƵ

Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2025

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim khususnya perluasan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua warganegara dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr Saravanan Thambirajah berkata pemberian tunai sekali bayar RM100 mulai 31 Ogos ini melalui MyKad dan boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis runcit itu sudah tentu memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta rakyat Malaysia.

“Pemberian ini mengiktiraf realiti semasa bahawa tekanan kos sara hidup bukan lagi isu golongan berpendapatan rendah saja, malah turut membelenggu kumpulan pertengahan.

“FOMCA menyambut baik pelbagai inisiatif diumumkan Perdana Menteri hari ini yang dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat termasuk pemberian bantuan tunai RM100 secara one-off, penurunan harga petrol RON95, pembekuan kadar tol serta peluasan program Jualan Rahmah Madani,” katanya dipetik laporan BH.

Mengulas penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, FOMCA menyifatkan ia sebagai langkah yang memberi impak langsung kepada berjuta pengguna, khususnya pekerja muda dan komuniti ekonomi gig.

“Pengurangan kos bahan api mempunyai kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan. Ia bukan saja meringankan beban rakyat, tetapi juga memperbaiki aliran tunai isi rumah,” katanya.

FOMCA turut menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya dinaikkan tahun ini, walaupun perlu menanggung kos pampasan melebihi RM500 juta.

Katanya, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan awam terutama mereka yang berulang-alik setiap hari atas urusan kerja dan keluarga.

Saravanan berkata, peluasan program Jualan Rahmah Madani ke seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukan tambahan RM600 juta turut memberi kelegaan kepada pengguna, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Ramai pengguna menyatakan penghargaan terhadap inisiatif ini. Namun, pelaksanaannya perlu terus ditambah baik dari segi rantaian bekalan, pengurusan stok dan logistik agar manfaatnya dinikmati secara konsisten,” katanya.

Dalam masa sama, FOMCA menegaskan semua bentuk bantuan tidak akan berkesan tanpa penguatkuasaan pasaran yang tegas bagi mengelakkan peniaga tidak bertanggungjawab menaikkan harga sesuka hati.

“FOMCA menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan kekuatan pasukan penguat kuasa, memperluaskan pemantauan serta bertindak tegas terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Saravanan turut mengingatkan pengguna menggunakan bantuan RM100 itu secara berhemah dengan memfokuskan kepada pembelian barangan asas yang benar-benar diperlukan.

“Jika ada individu yang tidak memerlukan bantuan ini, kami galakkan mereka bantu orang lain yang lebih memerlukan — sama ada ahli keluarga, jiran atau komuniti setempat. “Semangat saling membantu akan membentuk masyarakat penyayang dan bersatu,” katanya.

Beliau turut menegaskan langkah jangka pendek yang diumumkan kerajaan perlu dilengkapi strategi jangka panjang seperti pengukuhan perlindungan pengguna, ketelusan pasaran dan pendidikan pengguna secara berterusan.