㽶Ƶ

Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2025

TARIKH SIARAN: 8 OGOS 2025

fomcaKepada Ketua Editor,

SIARAN MEDIA: KETELUSAN DALAM PENJAGAAN KESIHATAN SWASTA - ‘PRESKRIPSI’ YANG SEKIAN LAMA DIPERLUKAN

Langkah kerajaan untuk mewajibkan pemberian preskripsi ubat dan bil terperinci di fasiliti penjagaan kesihatan swasta bukan sahaja wajar dipuji, malah perlu diberikan sokongan sepenuhnya. Malaysia sekian lama mengamalkan sistem kesihatan dua aliran: sektor awam yang bersubsidi dan mudah diakses, serta sektor swasta yang berasaskan kaedah pasaran di mana bayaran secara tunai oleh pengguna masih menjadi amalan utama. Malah, hampir separuh perbelanjaan penjagaan kesihatan negara berdasarkan daripada poket pengguna, dengan lebih kurang 35 peratus dibayar sendiri oleh pengguna (out-of-pocket)—situasi ini jelas menunjukkan betapa mudahnya pengguna menjadi mangsa dalam sistem yang tidak telus ini.

Dari sudut makroekonomi, inflasi kos perubatan di Malaysia melonjak kepada 12.6 peratus pada tahun 2023, iaitu dua kali ganda purata global sebanyak 5.6 peratus. Lonjakan ini banyak dipacu oleh caj tidak terkawal daripada sektor swasta. Bank Negara Malaysia telah menegaskan bahawa ketelusan harga yang lebih baik—termasuk pemaparan harga ubat dan prosedur serta bil terperinci—adalah penting untuk membendung kenaikan ini dan melindungi pengguna.

Dari segi mikro pula, keadaannya lebih membimbangkan. Kajian daripada sumber yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa harga ubat untuk penyakit biasa di sektor swasta boleh mencecah beberapa hari gaji. Sebagai contoh, harga ubat antihipertensi tertentu dari jenama asal (innovator) di sektor swasta boleh mencecah sehingga 2.3 hari gaji, manakala versi generik pula antara setengah hingga satu hari gaji. Ini merupakan beban yang sangat berat bagi golongan berpendapatan rendah. Di sesetengah klinik, untung atas angin bagi ubat generik boleh mencecah melebihi 100 peratus—yang bermakna kos rawatan asas meningkat dua kali ganda disebabkan oleh keuntungan tersembunyi.

Dalam suasana ini, langkah mewajibkan perincian preskripsi dan bil—yang menyenaraikan caj konsultasi, nama dan harga ubat, prosedur dan bahan digunakan—adalah satu keperluan. Ia memberi kuasa kepada pesakit untuk membandingkan harga dan mendapatkan ubat di tempat lain yang lebih mampu milik. Ia juga menghapuskan ketidakseimbangan maklumat yang selama ini membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan melampau atas alasan “kemudahan” rawatan.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa jika harga ubat dikawal atau ditetapkan harga siling secara maksimum, pengguna boleh menikmati penjimatan antara 40 hingga 50 peratus. Ini membuktikan betapa banyak ruang yang tersembunyi yang boleh ditambah baik kepada kaedah pembaharuan harga yang lebih adil.

Langkah ini sama sekali tidak mencabar hak profesional doktor. Sebaliknya, ia menjamin bahawa perkhidmatan kesihatan kekal berteraskan pesakit dan mengamalkan amalan perubatan yang lebih beretika. Di peringkat antarabangsa, langkah sebegini bukan sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, Australia menerbitkan harga ubat penuh melalui Skim Faedah Farmaseutikal (PBS); manakala Kanada, Perancis dan Jerman mewajibkan ketelusan dalam permohonan ubat baharu, rasional harga dan keberkesanan terapeutik. Pesakit dalam sistem ini benar-benar boleh membuat pilihan yang bermaklumat—dan Malaysia tidak harus ketinggalan.

Lebih membimbangkan, apabila perbelanjaan kesihatan swasta semakin meningkat—baik melalui insurans mahupun bayaran out-of-pocket —pengukuhan prinsip ketelusan ini bukan sahaja adil, malah penting secara fiskal. Kajian terhadap pesakit yang dilindungi insurans majikan menunjukkan bahawa antara 2016 hingga 2019, caj konsultasi meningkat sebanyak 113.9 peratus, manakala kos dan kuantiti ubat menurun. Ini menunjukkan strategi keuntungan telah beralih kepada aspek yang tidak mudah dikesan pengguna. Pelaksanaan bil terperinci dapat membendung caj yang tersembunyi ini dan menggalakkan amalan yang lebih beretika.

Pengguna—terutama golongan warga emas, pesakit kronik dan berpendapatan rendah—telah lama menjadi mangsa dalam sistem yang tidak telus. Reformasi kerajaan ini mengembalikan hak mereka, mengurangkan amalan pencatutan, dan membawa sistem kesihatan kita setaraf dengan piawaian antarabangsa. Ia adalah tindakan berani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (㽶Ƶ) untuk melindungi kepentingan awam daripada cengkaman keuntungan melampau yang telah sekian lama dibiarkan.

Pendek kata, pelaksanaan mandatori ini bukan sahaja memelihara hak pengguna, malah mengiktiraf penjagaan kesihatan sebagai tanggungjawab sosial, bukannya urusan perniagaan berasaskan keuntungan semata-mata. Ia sejajar dengan nilai global—ketelusan, keadilan dan akauntabiliti. Kerajaan mesti kekalkan pendirian dalam mempertahankan dasar ini tanpa tunduk kepada tekanan industri. Sistem kesihatan kita, dan kepercayaan rakyat terhadapnya, bergantung kepada tindakan yang berani seperti ini.

DR. SARAVANAN THAMBIRAJAH
Ketua Pegawai Eksekutif