Klinik swasta mengenakan bayaran ubat biasa dan ubat jangka panjang lebih mahal antara antara 23 peratus hingga 75 peratus berbanding farmasi komuniti. - Foto NSTPKUALA LUMPUR: Klinik swasta mengenakan bayaran ubat biasa dan ubat jangka panjang lebih mahal antara antara 23 peratus hingga 75 peratus berbanding farmasi komuniti.

Berdasarkan tinjauan BH, sebagai contoh klinik swasta menjual ubat paracetamol 500 miligram (mg) pada harga sekitar RM1 sebiji, tetapi ada farmasi yang menawarkan harga serendah 25 sen sebiji.

Pil salbutamol sulphate yang biasa digunakan berkaitan batuk akibat asma pula harganya sekitar RM1 sebiji di klinik swasta namun boleh dibeli di farmasi antara 25 sen hingga 45 sen sebiji.

Begitu juga ubat terkawal bagi kolesterol, atorvastatin 20mg sekotak mengandungi 30 biji yang dijual sekitar RM160 di klinik manakala RM122 di farmasi.

Satu jenama pil antiarlegik 4mg dijual di klinik pada harga RM1 sebiji tetapi diperoleh di farmasi pada harga 30 sen sebiji.

Menurut Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Boi Saidi B Abd Razak, perbezaan ketara harga ubat di kedua-dua premis itu berpunca daripada kaedah pembelian yang mana farmasi lazimnya membeli stok ubat dalam kuantiti besar sekali gus mampu mendapatkan harga lebih rendah daripada pembekal.

Katanya, sebaliknya di klinik swasta, kuantiti ubat yang dibeli secara umumnya tidak banyak, sekali gus harga yang diberikan pembekal jauh lebih tinggi berbanding farmasi.

"Pada masa sama, klinik swasta juga turut menanggung pelbagai kos lain termasuk sewa premis, gaji kakitangan, lesen papan tanda, bil utiliti serta kursus berkala untuk pembaharuan lesen perubatan.

"Perbezaan harga ubat antara klinik swasta dan farmasi komuniti itu tidaklah terlalu tinggi," katanya kepada BH, semalam.

Wajib pamer harga ubat

Bermula 1 Mei lalu, Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan peraturan mewajibkan klinik swasta mempamerkan harga ubat mengikut Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025.

Bagaimanapun, Ïã½¶ÊÓÆµ menegaskan tiada saman akan dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan advokasi.

Penguatkuasaan itu dibantah oleh pengamal perubatan am (GP) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr Boi Saidi berkata, PERDIM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan membantah pelaksanaan paparan harga di premis klinik swasta berikutan ia bertindih dengan dua akta sedia ada yang mengawal selia perkhidmatan klinik swasta hingga menyebabkan kekeliruan dan membebankan aspek pentadbiran.

"Campur tangan dalam sektor kesihatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) juga dilihat tidak begitu munasabah.

"Ini kerana tiada kawalan harga ubat yang rasmi di negara ini dan pelaksanaan penguatkuasaan boleh menimbulkan kekeliruan serta pertindihan bidang kuasa," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan klinik swasta dikenakan kompaun atau hukuman penjara atas kesalahan teknikal yang kecil, tanpa budi bicara yang munasabah daripada pihak penguat kuasa.

"Sehingga kini tiada akta khusus yang mengawal selia urus tadbir syarikat insurans, pengendali pihak ketiga (TPA) atau pengurus manfaat (MCO), sedangkan penetapan harga ubat sepatutnya menjadi bidang kuasa klinik itu sendiri.

"Penguatkuasaan paparan harga ubat di klinik swasta juga tidak membawa kesan yang signifikan kepada pesakit kerana ia tidak menggambarkan jumlah sebenar kos rawatan yang perlu ditanggung oleh mereka," jelasnya.

Pelarasan harga lindungi kepentingan pengguna

Penyelarasan harga ubat antara klinik swasta dan farmasi perlu dilakukan untuk kepentingan pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, mendakwa berdasarkan pemantauan pihaknya sejak lima tahun lalu, perbezaan harga ubat antara farmasi komuniti dan klinik swasta boleh mencecah antara 30 hingga 40 peratus, sekali gus membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Trend peningkatan harga ubat dan caj rawatan di klinik swasta semakin membimbangkan.

"Jika sebelum ini, rawatan untuk demam di klinik swasta hanya menelan kos sekitar RM30, kini harga yang dikenakan boleh mencecah hingga RM70.

"Selain itu, caj perundingan tinggi termasuk ubat hingga menelan belanja ratusan ringgit juga antara faktor yang membebankan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan di klinik swasta," katanya.

"Amalan ini suatu yang tidak sihat kerana kemungkinan penyakit seseorang tidak sama dan dos ubat diperlukan berbeza, jadi pesakit memilih untuk membeli di farmasi saja, malah ada juga yang mendapatkan rawatan alternatif seperti daripada pengamal perubatan tradisional atau 'sensei' yang dikatakan lebih 'mampu milik'," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun kerajaan melaksanakan Pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU), ia tidak begitu memberi kesan kepada pengguna jika tiada kawalan harga secara menyeluruh.

"Sebenarnya kawalan harga ubat ini adalah perlu kerana kalau harga dipaparkan tetapi tidak mampu dibeli pengguna, ia tidak berkesan juga.

"Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan kawalan harga ubat secara lebih sistematik supaya harga ubat di farmasi dan klinik swasta dapat diselaraskan demi kesejahteraan pengguna," katanya.

Perbezaan sukar dielakkan

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata perbezaan harga antara premis kesihatan adalah sesuatu yang sukar dielakkan kerana membabitkan pelbagai kos operasi di klinik swasta termasuk sewa, gaji, utiliti dan pembelian stok ubat.

Katanya, isu utama yang membelenggu pengguna ketika ini ialah ketiadaan sistem pembiayaan kesihatan yang inklusif untuk semua rakyat.

"Realitinya, sistem kesihatan negara kita hari ini terbahagi dua yang mana jika berduit, boleh pergi ke premis swasta dan jika tak mampu, ke hospital kerajaan. Ini mewujudkan jurang yang tidak adil kepada rakyat berpendapatan rendah.

"Farmasi komuniti mungkin dapat menjual ubat lebih murah kerana skala pembelian (stok) lebih besar, manakala klinik swasta yang kecil menanggung kos tinggi kerana pembelian dalam kuantiti kecil, selain beban operasi lain," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat kepada pelaksanaan sistem kesihatan seperti diamalkan di negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand yang melaksanakan skim pembiayaan kesihatan nasional mereka sendiri.

"Dengan adanya satu skim kebangsaan, kerajaan boleh menyalurkan bayaran terus kepada farmasi atau klinik swasta yang diiktiraf, menggunakan sumber sedia ada seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), zakat, wakaf dan dana kerajaan.

"Ini membolehkan semua rakyat mendapat akses rawatan, tidak kira di mana mereka mendapatkan perkhidmatan.

"Isu harga ubat yang berbeza juga timbul kerana pengguna biasanya tidak tahu jumlah sebenar yang dituntut oleh penyedia perkhidmatan daripada syarikat insurans atau pengurus manfaat (MCO), menjadikan sistem sedia ada tidak telus dan sukar dikawal," katanya.

Katanya lagi, dengan pelaksanaan skim ini, kerajaan bukan saja dapat mengawal harga ubat dan caj rawatan, malah dapat memastikan farmasi komuniti dan klinik swasta diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

"Kita tidak mahu sistem dua darjat kekal iaitu satu untuk orang yang ada duit, satu lagi untuk yang tidak mampu. Semua rakyat berhak mendapat rawatan yang adil, selamat dan berkualiti tanpa mengira latar belakang," katanya.