Tinjauan beberapa farmasi di Kota Bharu mendapati setiap ubat yang dijual ditampal tanda harga selepas pelaksanaan Penandaan Tanda Harga bagi ubat-ubatan di bawah Akta Farmasi 2013 yang dilaksanakan bermula semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama kumpulan pengguna di Malaysia menegaskan bahawa isu hospital dan klinik swasta perlu memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula semalam, tidak membabitkan yuran atau pendapatan profesional kesihatan seperti doktor.

Mekanisme Ketelusan Harga Ubat hanya tertumpu kepada harga ubat dan tidak harus disamakan dengan pendapatan dan kelestarian kewangan doktor.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata mekanisme paparan harga menyentuh hak asasi pengguna atau pesakit bagi dimaklumkan tentang barangan yang dibeli.

Katanya, pendapatan doktor berkaitan dengan yuran konsultasi, kos operasi dan ganjaran yang merupakan pertimbangan kewangan berasingan, membabitkan sumber pendapatan berbeza di bawah kementerian, polisi dan rangka kawal selia berbeza.

"Ketelusan dalam penentuan harga ubat sebenarnya akan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem penjagaan kesihatan swasta, sekali gus memberi manfaat kepada pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan yang beretika.

"Ia tidak menjejaskan profesionalisme atau kelestarian kewangan doktor di mana pendapatan mereka ditentukan oleh kepakaran, kualiti perkhidmatan dan yuran konsultasi yang dikawal selia, bukan oleh keuntungan tersembunyi daripada ubat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).

Mengulas lanjut Mohideen berkata, peraturan baharu ini dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 dan diwartakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

Menurut Mohideen, dengan kadar inflasi perubatan Malaysia mencecah 15 peratus jauh melebihi purata serantau dan global, ketelusan harga adalah langkah awal yang perlu bagi mengekang kenaikan harga tidak munasabah dan melindungi bajet isi rumah.

"Sehubungan itu, kami menggesa semua penyedia penjagaan kesihatan bagi mematuhi undang-undang ini dan meminta orang ramai supaya menyokong langkah berkenaan dalam menyediakan maklumat kepada pengguna serta melapor sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa," katanya.