Kerajaan digesa mempertimbangkan mekanisme preskripsi ubat oleh klinik swasta supaya pengguna boleh memilih untuk membeli ubat di farmasi berdasarkan kemampuan mereka. Gambar fail Bernama (Gambar kecil: Nur Asyikin)SHAH ALAM - Demi menggalakkan pasaran ubat yang lebih adil dan terbuka, kerajaan digesa mempertimbangkan mekanisme preskripsi ubat oleh klinik swasta supaya pengguna boleh memilih untuk membeli ubat di farmasi berdasarkan kemampuan mereka.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, dengan memberi pilihan kepada pengguna, ia akan meningkatkan ketelusan harga ubat memandangkan farmasi bersaing untuk menawarkan harga terbaik.

Menurutnya, langkah ini juga dapat mengurangkan potensi sesetengah penyedia rawatan mengenakan caj harga berlebihan.

“Memandangkan kerajaan baru-baru ini mula memberi perhatian serius terhadap isu inflasi perubatan, langkah memperkenalkan mekanisme preskripsi ubat yang lebih terbuka boleh menjadi sebahagian daripada reformasi sistem kesihatan.

“Ini sejajar dengan matlamat untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kekal mampu milik, adil, dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini, kebanyakan klinik swasta bukan sahaja membuat diagnosis, malah turut membekalkan dan menjual ubat terus kepada pesakit.

“Ini berbeza dengan amalan di banyak negara lain yang lebih mengutamakan perlindungan pengguna, di mana preskripsi dikeluarkan oleh doktor dan pesakit mempunyai pilihan untuk membeli ubat dari farmasi berdasarkan pertimbangan harga dan kemampuan,” ulasnya.