Tinjauan paparan harga ubat-ubatan sementara di sebuah Farmasi sekitar Bangsar. - Foto NSTP KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melahirkan kebimbangan terhadap perbezaan ketara antara harga ubat di klinik swasta dan farmasi komuniti kerana ia berisiko merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem penjagaan kesihatan swasta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T Saravanan, berkata atas dasar itu pengambilan untung yang keterlaluan perlu dikawal dengan tegas bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas situasi pengguna yang mungkin tidak mempunyai pilihan lain ketika memerlukan rawatan segera.

Beliau berkata, dalam usaha bagi menangani perkara itu, mekanisme paparan harga yang lebih telus dan mesra pengguna perlu diperkenalkan.

Katanya, ia termasuklah membangunkan portal rasmi atau aplikasi yang membolehkan orang ramai membandingkan harga ubat antara klinik dan farmasi berdekatan.

"Kita tidak mahu wujud segelintir 'bad apples' atau pemain industri yang mengenakan harga melampau dan seterusnya merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem penjagaan kesihatan swasta.

"Dalam menghadapi situasi ini, FOMCA mencadangkan supaya pemantauan dan penguatkuasaan terhadap harga ubat di klinik swasta diperketatkan.

"Kementerian Kesihatan wajar bertindak lebih proaktif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap klinik yang mengenakan harga tidak munasabah," katanya kepada BH, hari ini.

BH melalui laporan muka depan semalam, mendedahkan klinik swasta mengenakan bayaran ubat biasa dan ubat jangka panjang lebih mahal antara antara 23 peratus hingga 75 peratus berbanding farmasi komuniti.

Berdasarkan tinjauan BH, sebagai contoh klinik swasta menjual ubat paracetamol 500 miligram (mg) pada harga sekitar RM1 sebiji, tetapi ada farmasi yang menawarkan harga serendah 25 sen sebiji.

Pada masa sama, Saravanan berkata, perkembangan itu amat membimbangkan pengguna, terutamanya ketika rakyat berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, hak pengguna untuk mendapatkan preskripsi dan membeli ubat di luar klinik juga harus dihormati kerana pilihan sebegitu akhirnya akanmembantu mewujudkan persaingan sihat, sekali gus menurunkan harga.

"Walaupun kerajaan pada masa ini hanya mewajibkan paparan harga dan bukannya menetapkan kawalan harga ubat, langkah itu adalah satu usaha awal yang sangat penting bagi membendung kenaikan harga perkhidmatan kesihatan, atau apa yang dikenali sebagai inflasi perubatan.

"Paparan harga perlu difahami bukan hanya sebagai keperluan undang-undang, tetapi juga sebagai hak asas pengguna untuk membuat pilihan yang lebih bijak dan termaklum.

"Ia membolehkan pengguna membandingkan harga dan menilai kemampuan mereka sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan atau membeli ubat," katanya.

Beliau berkata, namun begitu, isu harga ubat di klinik swasta hanyalah sebahagian kecil daripada permasalahan yang lebih besar kerana cabaran utama dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang adil dan mampu milik terletak pada sektor hospital swasta yang sering dikaitkan dengan caj yang jauh lebih tinggi, termasuk harga ubat-ubatan.

Katanya, oleh itu, langkah memaparkan harga di klinik swasta perlu dilihat dalam kerangka lebih luas sebagai satu permulaan kepada agenda nasional untuk menangani inflasi kos kesihatan secara menyeluruh.

"Masalah di hospital swasta yang mengenakan caj tinggi tidak boleh dipandang ringan dan harus menjadi fokus utama dasar masa depan.

"Namun FOMCA juga memahami realiti yang dihadapi oleh doktor dan pengusaha klinik swasta. Kos operasi mereka semakin meningkat dengan antaranya beban sewa premis, gaji pekerja dan utiliti.

"Bagi menampung semua ini, jualan ubat sering menjadi salah satu sumber pendapatan utama mereka. Justeru, kami tidak menolak hak mereka untuk menetapkan harga yang membolehkan mereka terus beroperasi dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, namun begitu, memahami keperluan ini bukan bererti membenarkan sebarang bentuk pengambilan untung secara berlebihan.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, skim perlindungan kesihatan dan subsidi ubat untuk kumpulan B40 dan M40 juga perlu diperluaskan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada akses kepada ubat-ubatan yang diperlukan.

Katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan serius kepada isu yang lebih besar, iaitu harga dan caj melampau di hospital swasta yang memberi kesan besar kepada kos keseluruhan penjagaan kesihatan di negara ini.

"Kita ingin tegaskan bahawa walaupun paparan harga ubat adalah langkah kecil, ia adalah permulaan yang amat penting ke arah mewujudkan sistem penjagaan kesihatan swasta yang lebih telus dan adil.

"Namun begitu, usaha ini hanya akan bermakna sekiranya disokong dengan penguatkuasaan yang tegas serta dasar menyeluruh bagi mengekang inflasi kos kesihatan dan mencegah caj keterlaluan oleh pihak tertentu.

"Kita mahu Kementerian Kesihatan terus mengukuhkan mekanisme pemantauan dan memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang amalan tidak beretika yang boleh membebankan mereka," katanya.