Saral (depan, empat dari kiri) bersama peserta dalam sesi konsultasi kebangsaan baru-baru ini.SHAH ALAM – Kerajaan digesa meminda undang-undang bagi memasukkan peruntukan penarikan balik produk secara mandatori dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, dalam aspek memastikan keselamatan pengguna, negara perlu mencontohi pendekatan proaktif seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Jepun dan Singapura.

“Penglibatan pengguna dalam pembangunan dan semakan piawaian seperti Standard Malaysia MS 2626:2016 (MS 2626) perlu dijadikan budaya.

“Pengguna perlu faham hak mereka dan industri perlu bersedia dengan tanggungjawabnya. Jika kita gagal bersedia, kita sedang sedia untuk gagal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar Saral, MS 2626 digubal oleh Jawatankuasa Teknikal NSC 03/TC2 dengan merujuk kepada dua standard antarabangsa iaitu ISO 10377 (Keselamatan Produk) dan ISO 10393 (Penarikan Balik Produk).

Menurutnya, standard MS 2626 menjadi semakin penting dalam era globalisasi, di mana produk direka di satu negara, dihasilkan di negara lain dan dijual secara rentas sempadan.

“Keselamatan produk bukan isu teknikal semata-mata, ia adalah isu kepercayaan pengguna dan integriti pasaran.

“Tanpa sistem yang sistematik dan proaktif seperti MS 2626, pengguna terus terdedah kepada produk tidak selamat tanpa sebarang notifikasi atau perlindungan,” ujarnya.

Tambah beliau, ramai pengguna tidak mengetahui tentang penarikan balik produk dan situasi ini menunjukkan perlunya satu sistem amaran serta pelabelan yang mudah difahami rakyat di negara ini.

Ujarnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang membangunkan Garis Panduan Penilaian Risiko Produk Pengguna, Garis Panduan Penarikan Balik Produk Pengguna dan Kerangka Nasional PMS yang boleh diguna pakai oleh semua industri.

Ulas Saral lagi, maklum balas daripada Sesi Konsultasi MS 2626 akan disalurkan melalui portal Unified Public Consultation (UPC) dari 24 Jun hingga 31 Ogos 2025, serta digunakan dalam proses semakan ISO 10393 di peringkat antarabangsa.

“MS 2626 dan kerangka BPR-PMS bukan sahaja alat teknikal, tetapi instrumen perubahan budaya ke arah tanggungjawab korporat dan perlindungan pengguna yang sebenar.

“Dalam landskap ekonomi moden yang menuntut ketelusan dan tanggungjawab sosial, Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk membina sistem keselamatan produk yang proaktif, mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Tambahnya, satu sesi konsultasi kebangsaan yang membincangkan soal pelaksanaan MS 2626 turut dianjurkan pada 24 Jun lalu, melibatkan seramai 73 peserta termasuk 41 orang daripada sektor industri.

“Sesi ini memberi fokus kepada pengukuhan pelaksanaan MS 2626:2016 – Product Safety and Recall: Guidance in the Supply Chain dan pembentangan kerangka baharu kawal selia pascapasaran oleh KPDN melalui pendekatan Perniagaan Kejuruteraan Semula Proses (BPR),” jelasnya.