TARIKH SIARAN: 22 OGOS 2025

fomcaKepada Ketua Editor,

SIARAN MEDIA: AKTA PEMBAHARUAN BANDAR MESTI DIROMBAK — KERAJAAN DAN AHLI PARLIMEN WAJIB DENGAR SUARA RAKYAT SEBELUM DIBENTANG

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Kerajaan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang sedia ada. Akta ini terlalu sensitif, memberi kesan besar kepada rakyat, dan amat berisiko jika dibawa ke Parlimen tanpa rombakan menyeluruh serta rundingan yang telus dan inklusif bersama pihak berkepentingan. Apa yang dipertaruhkan bukan sekadar bangunan atau tanah, tetapi rumah, mata pencarian, dan keselamatan hidup rakyat Malaysia.

Walaupun konsep pembaharuan bandar boleh membawa manfaat seperti pemodenan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan awam, namun Malaysia masih belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang ini. Laporan di lapangan menunjukkan pemaju telah pun mendekati penduduk dengan janji-janji yang mengelirukan, maklumat yang tidak lengkap, atau sengaja dimanipulasi untuk memujuk pemilik rumah supaya memberi persetujuan. Lebih membimbangkan, terdapat juga insiden intimidasi yang menekan penduduk untuk menandatangani dokumen persetujuan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, rumah adalah pelaburan terbesar sepanjang hayat — hasil titik peluh bertahun-tahun dan lambang kenangan keluarga. Adalah zalim jika rakyat dipaksa menerima risiko kehilangan rumah mereka tanpa perlindungan undang-undang yang kukuh.

Sekiranya URA dikuatkuasa, keseimbangan kuasa akan berpihak sepenuhnya kepada pemaju. Akta ini berpotensi menjadi “piagam pemaju” dan bukan “piagam rakyat”. Justeru, FOMCA menegaskan bahawa ambang persetujuan minimum sebanyak 95 peratus daripada pemilik rumah yang terlibat mesti dijadikan syarat mandatori. Ambang yang lebih rendah, seperti 75 atau 80 peratus, bererti sejumlah besar keluarga berisiko kehilangan rumah mereka walaupun mereka tidak bersetuju. Dalam sebuah blok yang mempunyai 100 unit, ambang 80 peratus membolehkan 20 keluarga dipaksa keluar walaupun mereka menolak. Ramai daripada mereka yang membantah mungkin mempunyai alasan yang kukuh seperti masalah kewangan, nilai sentimental, atau tidak yakin dengan tawaran pampasan yang dicadangkan. Ambang 95 peratus adalah jaminan minimum untuk memastikan pembangunan semula hanya dijalankan dengan sokongan majoriti yang benar-benar besar dan memaksa pemaju berunding secara adil.

FOMCA menyambut baik tindakan beberapa Ahli Parlimen yang telah menyuarakan bantahan agar pembentangan URA ditangguhkan serta menegaskan kebimbangan terhadap isu ambang persetujuan dan hak pemilik rumah. Pendekatan ini berselari dengan suara rakyat yang amat bimbang dengan implikasi besar akta ini. URA adalah terlalu sensitif untuk digesa masuk ke Parlimen tanpa penelitian yang mendalam. Suara rakyat berhak untuk didengar, dan adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk memastikan pandangan masyarakat diambil kira sepenuhnya sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mana-mana akta pembaharuan bandar yang boleh dipercayai mestilah mengiktiraf dan melindungi hak asasi pemilik rumah. Mereka perlu diberi maklumat yang jelas dan tepat dalam bahasa yang difahami, bukan sekadar promosi berunsur pemasaran. Proses mendapatkan persetujuan perlu dipantau oleh pihak berkuasa bebas, bukan pemaju. Sebarang pertikaian wajib diselesaikan melalui tribunal yang bebas dengan perwakilan seimbang, sementara bantuan guaman perlu disediakan untuk mereka yang tidak mampu. Pampasan pula mesti mengambil kira bukan sahaja nilai pasaran semasa, tetapi juga kos pemindahan serta kerugian emosi akibat kehilangan tempat tinggal. Daripada kesan pembaharuan bandar, maruah dan hak rakyat mesti dijaga, dan sebarang ugutan, paksaan atau gangguan daripada pemaju mesti dikenakan hukuman tegas, termasuklah pembatalan kelulusan projek.

Pembaharuan bandar sepatutnya menjadi proses untuk memperkasa komuniti, bukan meminggirkan mereka. Ia seharusnya memelihara ikatan kejiranan, bukan memecah belahkan masyarakat. Ia perlu mengutamakan kebajikan jangka panjang penduduk, bukan keuntungan jangka pendek pemaju. Jika URA diteruskan secara tergesa-gesa, ia hanya akan mengundang eksploitasi, ketidakadilan, malah keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan undang-undang akan mula pudar.

FOMCA sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan dan semua Ahli Parlimen perlu menangguhkan pembentangan URA sehingga ia benar-benar dirombak dengan penglibatan penuh semua pihak berkepentingan, termasuk pemilik rumah, Persatuan Penduduk, Persatuan Pengguna, dan masyarakat sivil. Ambang persetujuan 95 peratus wajib dikekalkan sebagai benteng perlindungan, manakala undang-undang yang jelas perlu dikuatkuasakan sebelum mana-mana skim pembangunan semula dibenarkan. Sehingga jaminan ini dipenuhi, URA tidak boleh diteruskan.

Pembaharuan bandar mesti menjadi “piagam rakyat”, bukan “piagam pemaju”. Parlimen wajib mendengar suara rakyat — dan bertindak demi kepentingan mereka.

Dr. Saravanan Thambirajah

Ketua Pegawai Eksekutif