KUALA LUMPUR - Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan semakin banyak aduan diterima berhubung taktik halus yang digunakan peniaga untuk memanipulasi pengguna melalui iklan mengelirukan.
Ketua Pegawai Operasi FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin berkata, rakan strategiknya, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) juga kerap menerima aduan yang berkaitan dengan amalan perniagaan yang tidak beretika dan segalanya bermula dari sebuah iklan yang mengelirukan.
Menurutnya, iklan sepatutnya digunakan sebagai alat makluman mengenai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, tetapi kini ia dijadikan sebagai perangkap halus untuk memanipulasi pengguna.
"Situasi ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan perniagaan daripada pelbagai sektor termasuk pasar raya, kedai serbaneka, e-dagang, telekomunikasi, dan termasuk perkhidmatan kesejahteraan dan kecantikan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sektor kesejahteraan dan kecantikan menunjukkan peningkatan ketara apabila hampir setiap minggu sekurang-kurangnya dua aduan berkaitan iklan mengelirukan diterima.
Terdapat premis yang beroperasi di luar bidang kuasa sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (㽶Ƶ) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sekali gus membuka ruang eksploitasi.
Beliau berkata, antara taktik yang dikesan termasuk menawarkan sesi percubaan percuma tetapi pelanggan akhirnya dipaksa melanggan pakej bernilai ribuan ringgit malah terdapat pekerja yang mengambil telefon pelanggan untuk mengaktifkan kaedah “Buy Now Pay Later” tanpa penjelasan lengkap.
“Terdapat juga aduan pengguna yang ditakutkan dengan dakwaan kononnya mereka mempunyai masalah kesihatan serius atau wajah akan menjadi lebih teruk sekiranya rawatan tidak diteruskan,” jelasnya.
Sektor e-dagang turut tidak terkecuali apabila pengguna melaporkan iklan promosi besar-besaran atau harga luar biasa rendah, namun pesanan dibatalkan selepas pembayaran dibuat tanpa alasan munasabah.
"Ada juga kes pusat operasi penyedia perkhidmatan menutup operasi secara tiba-tiba dan meninggalkan pengguna tanpa mekanisme tuntutan ganti rugi," ujar Nur Asyikin.
Tambah beliau, beberapa pengguna mendakwa menerima barangan berbeza daripada apa yang diiklankan termasuk produk tiruan, barangan berkualiti rendah dan kuantiti tidak menepati janji.
Lebih membimbangkan apabila terdapat kes pengguna terpaksa meneruskan bayaran BNPL untuk perkhidmatan seperti keahlian pusat gimnasium walaupun premis tersebut telah menamatkan operasi," katanya.
Selain itu, satu lagi taktik manipulatif iaitu tawaran “percuma” yang tidak menjelaskan syarat sebenar. Dalam satu aduan, pengguna mendaftar aplikasi kedai serbaneka bagi menebus aiskrim percuma, namun hanya selepas memberikan maklumat peribadi dimaklumkan pembelian minimum RM5 diperlukan.
“Ini menunjukkan unsur 'misleading omission', di mana maklumat penting dengan sengaja ditinggalkan untuk memastikan pengguna mengambil tindakan yang menguntungkan syarikat termasuk menyerahkan data peribadi,” katanya.
Nur Asyikin menegaskan semua taktik berkenaan jelas bercanggah dengan Bahagian II Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang melarang sebarang perbuatan atau pernyataan mengelirukan termasuk dalam aspek harga, promosi atau maklumat produk.
Peniaga pula semakin berani memanipulasi pengguna kerana menganggap orang ramai tidak peka terhadap hak masing-masing selain kelemahan penguatkuasaan yang membuka ruang eksploitasi.
Sehubungan itu, FOMCA menggesa pengguna lebih berwaspada, membaca terma dengan teliti, menyimpan bukti iklan serta membuat laporan sekiranya berlaku penipuan.
Pada masa sama, FOMCA juga mendesak pihak berkuasa untuk memperkukuh penguatkuasaan, menutup kelompongan kawal selia dan mewajibkan pematuhan terhadap garis panduan pengiklanan yang telus, adil serta tidak mengelirukan agar pengguna tidak terus menjadi mangsa kepada taktik tidak bertanggungjawab.
"Pengguna tidak seharusnya menjadi mangsa kepada iklan yang tidak bertanggungjawab.
"Kita mesti memperjuangkan pasaran yang lebih jujur dan beretika, di mana setiap maklumat yang disampaikan melalui iklan adalah benar, tepat dan tidak mengelirukan," katanya.

