Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik keputusan kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap di seluruh negara, khususnya bagi pengusaha yang terlibat dalam sektor pengangkutan barangan darat.
Langkah ini dilihat tepat pada masanya memandangkan kos pengangkutan dan logistik terus memberi kesan langsung kepada harga makanan, hasil pertanian dan barangan keperluan harian yang ditanggung pengguna.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), penambahbaikan mekanisme SKDS membolehkan syarikat yang memiliki kenderaan jenis jip dan pikap bagi tujuan pengangkutan barangan darat membuat pendaftaran di bawah sistem tersebut bermula 1 Jun 2026. Kerajaan juga memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan tertentu yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada syarat pendaftaran syarikat dan pertukaran hak milik kenderaan.
FOMCA menghargai usaha berterusan kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik yang telah menyebabkan kenaikan harga minyak dan komoditi di peringkat antarabangsa. Tekanan luaran ini bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah turut dirasai oleh banyak negara lain.
Dalam keadaan mencabar ini, pengguna memahami bahawa kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengimbangi keperluan melindungi kebajikan rakyat dan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
Walaupun peluasan subsidi diesel ini berpotensi membantu mengurangkan kos pengangkutan, FOMCA menegaskan bahawa tiada jaminan automatik bahawa penjimatan tersebut akan diterjemahkan kepada harga yang lebih rendah kepada pengguna. Kos bahan api dan logistik merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan. Namun begitu, pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan amat penting bagi memastikan penjimatan kos benar-benar diterjemahkan kepada harga yang lebih stabil dan bukannya diserap sebagai keuntungan tambahan oleh pihak tertentu.
Sehubungan dengan itu, FOMCA menggesa kerajaan, khususnya KPDN memperkukuhkan pemantauan terhadap harga barangan keperluan dan menilai secara berkala sama ada mekanisme subsidi ini benar-benar membantu menstabilkan harga untuk pengguna.
Pada masa yang sama, FOMCA memahami rasional kerajaan mewajibkan pemilik kenderaan individu mendaftarkan perniagaan mereka secara formal sebelum layak menerima subsidi kerana langkah tersebut mampu meningkatkan akauntabiliti, tadbir urus serta mengurangkan ketirisan subsidi.
Namun begitu, FOMCA berpandangan bahawa syarat ini berisiko memberi kesan kepada pengusaha kecil dan sektor tidak formal termasuk petani kecil, pengusaha pengangkutan luar bandar dan penghantar barangan sendiri yang mungkin tidak mempunyai sumber kewangan, pengetahuan atau keupayaan digital untuk melengkapkan proses pendaftaran syarikat dan pertukaran hak milik kenderaan.
Bagi memastikan tiada golongan tercicir, FOMCA mencadangkan agar kerajaan menyediakan proses pendaftaran yang lebih mudah, program bantuan pendaftaran bergerak, kempen kesedaran dan langkah sokongan sementara bagi membantu pengusaha kecil menyesuaikan diri dengan sistem baharu ini.
FOMCA turut menyokong langkah kerajaan memperketatkan kawalan di bawah SKDS termasuk penetapan kuota bulanan tetap dan pengurusan fleet card yang lebih ketat bagi membendung ketirisan serta penyalahgunaan subsidi diesel.
Dengan lebih 432,000 kenderaan kini layak di bawah sistem subsidi tersebut, FOMCA berpandangan bahawa penguatkuasaan yang lebih tegas, audit berkala dan kerjasama antara agensi amat penting bagi membanteras penyalahgunaan serta aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram.
Pengguna juga perlu diberikan saluran aduan yang mudah dan berkesan sekiranya terdapat pihak yang terus menaikkan harga secara tidak munasabah walaupun menerima manfaat subsidi bahan api.
Akhir sekali, FOMCA menegaskan bahawa subsidi bersasar mampu membantu mengurangkan kesan turun naik harga minyak global dan ketidaktentuan geopolitik. Namun begitu, semua pihak termasuk kerajaan, industri dan pengguna perlu bersama-sama memainkan peranan secara bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Dr. Saravanan Thambirajah
Ketua Pegawai Eksekutif

