Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah sekeras-kerasnya sebarang keperluan yang memaksa rakyat Malaysia menyerahkan MyKad, pasport, atau dokumen pengenalan diri lain yang sensitif secara terus kepada platform media sosial antarabangsa, syarikat teknologi asing, atau penyedia pengesahan yang berpangkalan di luar negara.

Walaupun FOMCA mengiktiraf keperluan untuk melindungi kanak-kanak dan golongan bawah umur dalam talian, namun keselamatan pengguna dan kedaulatan data negara tidak boleh dikorbankan dalam proses tersebut. Cadangan semasa menimbulkan kebimbangan yang amat serius berkaitan privasi, keselamatan siber, penyalahgunaan maklumat peribadi, dan dan ancaman kedaulatan negara ke atas data identiti peribadi rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya dipaksa memuat naik salinan kad pengenalan, pasport, atau dokumen rasmi lain kepada syarikat yang beroperasi di luar bidang kuasa Malaysia. Apabila data sensitif sedemikian keluar dari kawalan negara atau diuruskan oleh syarikat antarabangsa, pengguna akan hilang hak untuk mengetahui dan mengawal bagaimana maklumat mereka digunakan, disimpan, dianalisis, dikongsi, dikomersialkan, atau dikekalkan.

Terdapat banyak persoalan besar yang masih belum terjawab mengenai pelaksanaan ini secara keseluruhan. Pengguna masih tidak mengetahui siapa sebenarnya yang akan mengendalikan sistem pengesahan tersebut, di mana data akan disimpan, berapa lama data akan dikekalkan, sama ada maklumat akan dipindahkan ke luar negara, atau vendor pihak ketiga terlibat, atau data yang dikumpulkan akhirnya boleh digunakan untuk pembentukan profil pengguna, pengiklanan tingkah laku, latihan kecerdasan buatan (AI), analitik komersial, atau aktiviti perlombongan data.

FOMCA amat bimbang bahawa sistem ini boleh membuka ruang kepada eksploitasi besar-besaran data identiti rakyat Malaysia oleh syarikat teknologi swasta yang model perniagaannya sangat bergantung kepada pengumpulan data dan pembentukan profil pengguna. Pengguna tidak boleh dijadikan produk dalam ekonomi digital di mana identiti peribadi mereka dianggap sebagai aset komersial.

Isu ini bukan sahaja melibatkan pengesahan umur tetapi ia turut melibatkan maklumat identiti negara milik jutaan rakyat Malaysia yang sangat sensitif. Sebarang pelanggaran data, kebocoran, penggodaman, atau penyalahgunaan boleh mendedahkan pengguna kepada kecurian identiti, penipuan kewangan, jenayah siber, penyamaran, penipuan (scam), dan pelanggaran privasi jangka panjang. FOMCA menegaskan bahawa dokumen identiti negara bukanlah maklumat biasa. Data MyKad mengandungi butiran yang amat sensitif dan boleh disalahgunakan sekiranya jatuh ke tangan yang salah. Pengguna kini sudah pun berhadapan dengan ancaman scam, sindiket phishing, pinjaman palsu, aktiviti akaun keldai, dan penipuan identiti yang semakin meningkat. Perbuatan memaksa rakyat memuat naik dokumen identiti ke pelbagai platform media sosial boleh meningkatkan risiko tersebut secara ketara.

FOMCA juga menolak sebarang pendekatan yang membolehkan syarikat antarabangsa menjadi penjaga utama identiti rakyat Malaysia. Pengesahan identiti warganegara mesti kekal di bawah kawalan nasional yang ketat dan perlu dikendalikan melalui infrastruktur tempatan yang selamat serta mematuhi sepenuhnya undang-undang Malaysia dan keperluan keselamatan siber negara.

Daripada membenarkan platform media sosial atau syarikat teknologi luar negara mengumpul dokumen identiti secara langsung, kerajaan seharusnya meneroka alternatif yang lebih selamat seperti ekosistem ID digital tempatan yang diuruskan di bawah tadbir urus nasional yang ketat dan pemantauan bebas. Sistem pengesahan juga perlu meminimumkan pendedahan data dan mengelakkan pengumpulan dokumen sensitif yang tidak diperlukan.

FOMCA percaya bahawa sebarang mekanisme pengesahan digital mesti mematuhi prinsip keperluan, keseimbangan, ketelusan, akauntabiliti, dan pengurangan data minimum. Pengguna sepatutnya hanya perlu memberikan maklumat minimum yang diperlukan untuk tujuan pengesahan tanpa perlu mendedahkan dokumen identiti penuh kepada pelbagai pihak.

Situasi antarabangsa menunjukkan bahawa sistem pengesahan umur boleh menjadi kontroversi apabila dilaksanakan tanpa perlindungan privasi yang kukuh. Beberapa negara telah menerima kritikan selepas rakyat membangkitkan kebimbangan mengenai pengawasan, pengumpulan data berlebihan, kelemahan keselamatan siber, dan kemungkinan maklumat sensitif dieksploitasi untuk tujuan komersial.

Malaysia harus mengambil pengajaran daripada kebimbangan global ini dan tidak melaksanakan sistem secara tergesa-gesa tanpa rundingan awam yang sewajarnya. Dasar yang melibatkan data identiti peribadi memerlukan kepercayaan awam, dan kepercayaan tidak boleh dibina tanpa ketelusan.

Oleh itu, FOMCA menggesa supaya pelaksanaan cadangan ini ditangguhkan segera sehingga penglibatan menyeluruh bersama pihak berkepentingan dilaksanakan, termasuk kumpulan pengguna, pakar keselamatan siber, pejuang hak digital, pakar privasi, ibu bapa, kumpulan belia, pakar undang-undang, dan pemain industri.

Kerajaan mesti terlebih dahulu membentangkan satu rangka kerja yang jelas dan telus yang menerangkan bagaimana sistem ini akan berfungsi, siapa yang akan menguruskan data, apakah perlindungan undang undang yang wujud, bagaimana pemantauan bebas akan dijalankan, dan bagaimana hak pengguna akan dilindungi.

Melindungi kanak-kanak dalam talian adalah penting, namun perlindungan privasi, maruah, dan kedaulatan data peribadi rakyat Malaysia adalah sama penting dan tidak boleh dipandang ringan. Hak pengguna dan kepentingan negara tidak boleh sama sekali dikompromi demi mengejar kawalan digital.

 

Dr. Saravanan Thambirajah

Ketua Pegawai Eksekutif