SHAH ALAM- Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha mengurangkan kesan buruk plastik terhadap alam sekitar selaras dengan komitmen terhadap kelestarian bumi.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, setiap 5 Jun dunia menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia dan tahun ini temanya cukup jelas iaitu 'Atasi Pencemaran Plastik', dengan Korea Selatan menjadi tuan rumah sambutan 2025.
"Seluruh dunia digesa bertindak segera menangani krisis pencemaran plastik yang semakin meruncing dan negara kita tidak ketinggalan.
"Dari sekolah hingga ke pusat membeli-belah, peniaga kecil hingga ke syarikat gergasi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pelbagai inisiatif telah digerakkan demi masa depan lebih hijau dan lestari," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujar Saral, ancaman mikroplastik pada hari ini hakikatnya semakin meruncing dengan ia mudah ditemui dalam makanan, minuman dan darah manusia.
"Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan turut mengancam hidupan laut.
"Kajian mendapati partikel kecil ini berasal daripada plastik terbuang dan produk harian seperti pakaian sintetik serta kosmetik," katanya.
Susulan itu katanya, Malaysia kini sedang memperkukuhkan langkah dengan mengguna pakai standard antarabangsa seperti ISO 14001 bagi pengurusan alam sekitar dan ISO 50001 untuk pengurusan tenaga.
"Petronas, Universiti Teknologi Malaysia dan Sime Darby Plantation telah menunjukkan komitmen menerusi standard ini.
"Tambahan pula, Malaysia mula menerapkan standard Circular Economy seperti ISO 59004 (prinsip ekonomi pusingan), ISO 59010 (amalan pelaksanaan model ekonomi pusingan) dan ISO 59020 (penilaian prestasi ekonomi pusingan)," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, semua perkara berkenaan tidak akan berlaku tanpa sokongan rakyat.
"Orang ramai perlu menolak menggunakan penyedut minuman plastik, bawa beg kitar semula ke kedai, elak pembungkusan berlebihan dan sertai aktiviti kitar semula di kawasan masing-masing.
"Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia ini, marilah kita sama-sama berikrar untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan pencemaran demi Malaysia yang lebih bersih dan masa depan yang lebih baik," katanya.